Sunday 28 December 2014

UMNO Negeri Tidak Tidur - ZAIDI

Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan sepatutnya menggunakan saluran di peringkat bahagian untuk mengemukakan pandangan dan bukan menggunakan media alternatif bagi mengkritik parti.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, tindakan itu jelas boleh merosakkan imej parti dan kerajaan.

Sebagai pemimpin, katanya, mereka mempunyai saluran yang betul untuk mengemukakan cadangan dan pandangan ke arah memantap dan memperkukuhkan parti UMNO.

“UMNO negeri tidak ‘tidur’ seperti yang didakwa oleh Khairuddin kerana kita mengadakan pelbagai program yang aktif untuk mendekati rakyat.

“Mungkin beliau melihat gerakan UMNO nampak kurang penyelarasan sedangkan UMNO sentiasa bergerak mengadakan program dari semasa ke semasa demi kepentingan rakyat,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Khairuddin menimbulkan polemik apabila kenyataannya yang disiarkan portal pembangkang mendakwa pemimpin UMNO negeri ‘tidur’ dan berbeza dengan pakatan pembangkang yang begitu serius melaksanakan pelbagai gerak kerja selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Selain itu, Khairuddin juga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya yang didakwanya menjalankan perniagaan yang boleh dipersoalkan serta mahu siasatan terperinci dan komprehensif dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah syarikat itu.

No comments:

Post a Comment