Sunday 28 December 2014

Skuad Sayang Wanita Umno P.Pinang Mula Hantar Bantuan Banjir

Skuad Sayang Wanita Umno Pulau Pinang hari ini mula menghantar bantuan bernilai RM30,000 untuk diedar ke negeri-negeri di Pantai Timur yang terjejas banjir.

Pesuruhjaya Skuad Sayang Wanita Umno negeri Senator Norliza Abdul Rahim berkata sumbangan berupa barangan keperluan harian yang dianggarkan seberat tiga tan itu akan dihantar ke pusat pengumpulan bantuan banjir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

"Ia dikumpul hasil kerjasama parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk sumbangan persendirian pemimpin tertinggi Gerakan, Umno, MCA, MIC dan PPP (Parti Progresif Penduduk)," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bantuan Kemanusiaan BN di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Pembangunan Pelajar USM Prof Dr Adnan Hussein berkata seramai 1,000 sukarelawan USM dijangka dihantar ke negeri-negeri selepas banjir surut bagi membantu kerja-kerja pembersihan.

"Mereka akan dihantar secara berperingkat selepas peperiksaan semester berakhir mengikut keperluan semasa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, Kelantan dijadikan pusat penempatan banjir sementara kepada pelajar institusi pengajian tinggi bermula semalam.

Beliau berkata setakat ini, seramai 200 pelajar universiti terjejas banjir termasuk daripada Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin, dipindahkan ke kampus itu.

Beliau berkata mereka ditempatkan sementara di Desasiswa Murni dan Desasiswa Nurani yang terletak di kawasan tinggi dan jauh dari kawasan banjir.Bernama

No comments:

Post a Comment