Thursday 11 September 2014

Tembok Runtuh Di Mekah

Menurut sumber , Penguat kuasa Bandar Mekah dalam perbualan telefon menyatakan pihak berkuasa berjaya mengeluarkan 5 mayat yang tidak dinyatakan taraf kerakyatannya yang terlibat dalam insiden kejadian runtuhan tembok disalah satu projek di bandar tersebut.

Difahamkan di Internet mengatakan lebih berdosen mangsa dikatakan tertimbus dalam nahas ini akan tetapi di nafikan oleh oleh penguatkuasa Bandar Mekah.

Dimaklumkan blok penahan dinding konkrit setinggi 15 meter dan lebar hampir 100 meter dikatakan runtuh di sekitar Jabal Al-Kaabah berdekatan projek Lingkaran Pertama di Mekah yang meragut 5 nyawa.

Sehubungan itu Emir Makkah, Putera Mishaal bin Abdullah telah membentuk jawatankuasa teknikal segera untuk mendedahkan sebab-sebab keruntuhan, masalah penguatkuasaan dan pejabat kejuruteraan perunding (neutral) dalam kes ini.[kejadian lebih kurang 18 jam lepas] 

Diharapkan tidak ada jemaah dari Malaysia yang terlibat.Lagi gambar sila Klik Sini 

MH17 Pasukan Penyiasat Masih Belum Dapat Masuki Kawasan Nahas

PUTRAJAYA, 11 Sept – Pasukan penyiasat antarabangsa termasuk dari Malaysia masih belum boleh memasuki lokasi nahas pesawat MH17 berikutan keadaan yang tidak cukup selamat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pasukan penyiasat Malaysia yang terdiri daripada 30 pegawai dan anggota polis berlepas ke Ukraine baru-baru ini dan masih berada di Kiev kerana masih belum terdapat tanda kawasan itu selamat, walaupun perjanjian gencatan senjata telah ditandatangani antara kerajaan Ukraine dan puak pemisah serta dipantau Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah.

Beliau berkata pasukan penyiasat mempunyai sekurang-kurangnya 45 hari untuk melakukan siasatan di lokasi nahas sebelum musim sejuk yang dianggap agak ekstrem di timur Ukraine.

“Kita akan menunggu masa paling sesuai supaya pasukan siasatan dapat memulakan siasatan di lokasi nahas. Kita terpaksa berada di kawasan siasatan dengan segera kerana ketibaan musim sejuk adalah mustahil dan sukar untuk mendapatkan bahan-bahan bukti.

“Apatah lagi, dalam keadaan waktu begitu lama sejak nahas, ia sukarkan untuk menjalankan penyiasatan,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata dengan kerjasama pasukan antarabangsa lain terutama Belanda dan Australia, diharapkan pihak yang bertelagah dapat memberi peluang untuk siasatan dijalankan semula.

Beliau berkata pihak kerajaan Ukraine telah menyatakan sokongan terhadap pasukan Malaysia untuk kembali ke lokasi nahas untuk menjalankan siasatan.

Ditanya sekiranya pasukan penyiasat masih gagal memasuki lokasi nahas, Ahmad Zahid berkata ‘Pelan B’ akan dilakukan untuk meneruskan siasatan.

“Kita akan melakukan analisis terhadap bahan-bahan bukti yang dikumpul oleh pasukan siasatan awal sebelum ini di Kiev dan Hague,” katanya.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Laporan awal Lembaga Keselamatan Belanda antara lain menyebut struktur pesawat MH17 berkecai di udara berkemungkinan akibat ditembusi objek bertenaga tinggi dari luar pesawat dan tiada petunjuk bahawa nahas disebabkan masalah teknikal atau perbuatan anak kapal, selain pesawat itu disahkan ‘layak terbang’.

Akta Hasutan Perlu Di Perketatkan

Aktivis pro-Akta Hasutan, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata undang-undang tersebut sepatutnya diperketatkan lagi dengan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Beliau yang kini mengusahakan satu NGO baru dengan nama Malaysia Mempertahankan Akta Hasutan berkata beliau akan menjalankan kempen untuk mendapatkan sokongan agar akta tersebut dikekalkan.

"Akta hasutan telah menangkap dan memenjarakan mereka yang jahat mulut yang hasut rakyat sejak tahun 1948.

"Akta ini baik, kenapa nak hapus pula? Sepatutnya dikekalkan dan diketatkan lagi. Patut diletakkan hukuman gantung sampai mati kalau hasut lebih daripada tiga kali," katanya.

Peguam itu berkata, bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan akan melancarkan kempen tersebut esok.

Hasil daripada petisyen itu akan dijadikan satu memorandum yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong serta perdana menteri.

"Kita akan buat kempen ini secara fizikal dan maya. Kita akan buat jelajah bagi memberi penerangan tentang akta ini dan kumpul tanda tangan.

"Selepas itu kita akan serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri. Tempoh masa kita ialah sehingga Parlimen bersidang. Masa itu kita akan serah (memorandum)," katanya lagi.

Memorandum pada Agong

Akta berkenaan setakat ini memperuntukkan hukuman maksimum denda RM5,000 dan tiga tahun penjara.

Begitupun, tekanan terus disuarakan dari kalangan pemimpin politik dan anggota masyarakat sivil agar akta yang disifatkan lapuk dan zalim itu terus dimansuhkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun semalam berkata kerajaan hanya akan "mengkaji" sama ada akta tersebut perlu dimansuhkan.

Kenyataan itu menyimpang daripada janjinya pada 2012 untuk memansuhkan akta tersebut, selepas mendapat tekanan dari kumpulan sayap kanan termasuk menteri kabinetnya.

Akta berkenaan terus menerima kontroversi susulan siri siasatan dan pendakwaan ke atas aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat mengikut Akta Hasutan sejak bulan lalu.

Antaranya, pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Azmi Sharom yang dituduh mengeluarkan kenyataan yang menghasut berhubung krisis perlembagaan di Perak.

Wartawan Malaysiakini Susan Loone juga disiasat mengikut akta sama minggu lalu.

Semalam, aktivis Ali Abd Jalil pula didakwa dengan tiga pertuduhan bawah akta tersebut.

Rumah Sewa Beli Untuk Golongan Memerlukan

BUTTERWORTH 10 Sept. - Golongan miskin tegar, orang kurang upaya (OKU) dan gelandangan di negeri ini dilihat masih tidak berkemampuan untuk membeli dan memiliki rumah sendiri.

Mereka perlu dibela bagi mengelakkan daripada merempat di negeri sendiri, lantaran itu, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) sedang melaksanakan projek Perumahan Kesejahteraan Rakyat (PPKR) untuk membela golongan terbabit.

Pengerusi Perda, Datuk Shabudin Yahaya berkata, melalui PPKR yang sedang dibina, melibatkan 57 unit di Desa Puri, Ara Kuda di Tasek Gelugor yang dijangka siap Disember ini menawarkan konsep sewa beli RM100 sebulan kepada golongan berkenaan.

Beliau berkata, melalui konsep itu mereka tidak dikenakan wang deposit untuk menduduki rumah tersebut.

"Selepas mereka menyewa rumah berkenaan dalam tempoh 15 tahun, golongan ini layak memiliki rumah itu sebagai hak milik sendiri dengan membayar sekitar RM3,000 sahaja.

"Kita akan mengira kos sewa bulanan selama 15 tahun itu sebagai wang deposit untuk membeli rumah berkenaan dengan harga yang murah," katanya di sini hari ini.

Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, ini merupakan tanggungjawab Perda untuk membantu golongan tersebut mempunyai tempat tinggal yang selesa.

Menurut beliau, sebuah lagi projek PPKR itu akan dilaksanakan oleh Perda di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau tidak lama lagi.

Katanya, projek membabitkan pembinaan 60 unit rumah tiga bilik itu akan ditawarkan kepada golongan berkenaan yang masih terpinggir.

Kampung Padang Lalang ke Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia

NIBONG TEBAL 10 Sept. - Komitmen jitu yang ditunjukkan penduduk Kampung Padang Lalang di Simpang Ampat dekat sini, melayakkan mereka dipilih sebagai juara Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia pe-ringkat negeri baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung itu, Suhaimi Man, ini kali pertama mereka menjadi juara peringkat negeri selepas sekadar muncul naib juara tahun lalu.

Sebagai juara, mereka mene-rima hadiah RM10,000 dan sijil serta akan mewakili negeri ini ke pertandingan peringkat kebangsaan Oktober depan, selain turut diberi geran projek sebanyak RM50,000.

Suhaimi berkata, antara aktiviti utama yang diberi keutamaan penduduk kampung itu adalah projek peningkatan ekonomi, selain aktiviti keagamaan, pendidikan dan sosial melibatkan semua golongan.

"Saya sendiri tidak menyangka juri akan memilih kampung ini sebagai juara dan ini adalah hasil kerjasama seluruh penduduk kampung.

"Tugas berat menanti kami di peringkat kebangsaan nanti dan berharap kejayaan menjadi milik Pulau Pinang tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman.

Tempat kedua peringkat negeri dirangkul Kampung Air Melintas Besar, Tasek Gelugor manakala tempat ketiga diraih Kampung Su-ngai Semilang, Juru.

Tambah Suhaimi, bagi menambah pendapatan penduduk, pihaknya sedang mengusahakan tanaman herba dengan penyertaan seluruh penduduk kampung yang seramai 2,500 orang.

Jelasnya, pada masa ini mereka telah mengusahakan tanaman itu secara kecil-kecilan dengan permulaan 20 pokok yang ditanam di rumah.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang harus tampil membantu kampung tersebut kerana mereka membawa nama negeri.

"Hanya Kerajaan Pusat yang banyak membantu dalam mengiktiraf desa-desa sejahtera dan cemerlang ini.

"Sedangkan, banyak potensi yang ada di luar bandar di negeri ini yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancong ke negeri ini," ujarnya.