Thursday 11 September 2014

Kampung Padang Lalang ke Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia

NIBONG TEBAL 10 Sept. - Komitmen jitu yang ditunjukkan penduduk Kampung Padang Lalang di Simpang Ampat dekat sini, melayakkan mereka dipilih sebagai juara Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia pe-ringkat negeri baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung itu, Suhaimi Man, ini kali pertama mereka menjadi juara peringkat negeri selepas sekadar muncul naib juara tahun lalu.

Sebagai juara, mereka mene-rima hadiah RM10,000 dan sijil serta akan mewakili negeri ini ke pertandingan peringkat kebangsaan Oktober depan, selain turut diberi geran projek sebanyak RM50,000.

Suhaimi berkata, antara aktiviti utama yang diberi keutamaan penduduk kampung itu adalah projek peningkatan ekonomi, selain aktiviti keagamaan, pendidikan dan sosial melibatkan semua golongan.

"Saya sendiri tidak menyangka juri akan memilih kampung ini sebagai juara dan ini adalah hasil kerjasama seluruh penduduk kampung.

"Tugas berat menanti kami di peringkat kebangsaan nanti dan berharap kejayaan menjadi milik Pulau Pinang tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman.

Tempat kedua peringkat negeri dirangkul Kampung Air Melintas Besar, Tasek Gelugor manakala tempat ketiga diraih Kampung Su-ngai Semilang, Juru.

Tambah Suhaimi, bagi menambah pendapatan penduduk, pihaknya sedang mengusahakan tanaman herba dengan penyertaan seluruh penduduk kampung yang seramai 2,500 orang.

Jelasnya, pada masa ini mereka telah mengusahakan tanaman itu secara kecil-kecilan dengan permulaan 20 pokok yang ditanam di rumah.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang harus tampil membantu kampung tersebut kerana mereka membawa nama negeri.

"Hanya Kerajaan Pusat yang banyak membantu dalam mengiktiraf desa-desa sejahtera dan cemerlang ini.

"Sedangkan, banyak potensi yang ada di luar bandar di negeri ini yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancong ke negeri ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment