Sunday 28 December 2014

Sambutan Ambang 2015 Bukan Anjuran Kerajaan Negeri

Gambar Hiasan
GEORGETOWN - Kerajaan negeri tidak akan masuk campur dalam penganjuran sambutan tahun baharu anjuran hotel atau pusat beli-belah di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Kawalan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya tidak terlibat dalam mana-mana penganjuran sambutan yang mula mempromosikan konsert sempena menyambut sambutan itu.

“Semua penganjuran itu dibuat oleh syarikat terlibat. Tiada kaitan dengan kerajaan negeri. Mereka anjur di premis persendirian. Kerajaan negeri tiada hak untuk menghalang.

Keputusan untuk membatalkan program sambutan tahun baharu terpulang kepada mereka, bukan kerajaan negeri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan, masih banyak penganjur dan hotel mempromosikan konsert ambang tahun baharu di negeri ini.

Perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai berikutan negara sedang dilanda musibah banjir. sinar

Tiada Laporan Banjir Di Pulau Pinang

Pulau Pinang dilaporkan tidak mengalami banjir setakat ini walaupun bencana itu berlaku di Perak dan Kedah.

Exco Kerajaan Tempatan, Kawalan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, walaupun sungai di negeri ini berhubung dengan sungai di Kedah dan Perak, sehingga kini, tiada laporan mengatakan banjir akan berlaku di negeri ini.

“Sejak semalam (kelmarin), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menempatkan petugas pemantau sungai termasuk di Seberang Perai Selatan.

“Sehingga jam 6 petang semalam (kelmarin), saya sudah menerima laporan dari pasukan khas dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa tiada banjir di Pulau Pinang, setakat ini,” katanya, semalam.

Kon Yeow berkata, jurutera dipertanggungjawabkan akan melaporkan keadaan sungai dari masa ke semasa.

“Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa melakukan kerja pembersihan secara berkala supaya tidak berlaku banjir.” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, sebuah tabung dana mangsa bencana banjir ditubuhkan DAP negeri bagi membolehkan orang ramai menyalurkan bantuan.

Menurutnya, DAP negeri menyumbangkan RM10,000 berbentuk barangan bagi meringankan beban mangsa banjir di negeri terjejas.

“Wisma DAP negeri di Jalan Rangoon dibuka untuk menerima sumbangan orang ramai mulai esok (hari ini) bermula jam 12 tengahari hingga 5 petang,” katanya.

Kon Yeow berkata, kesemua barangan itu akan dibungkuskan pada Isnin dan diterbangkan ke Kota Bharu, Kelantan keesokan harinya. sinar

DAP Tuntut Kerajaan Pulau Pinang Diberi Kuasa Autonomi

DAP menuntut agar kerajaan negeri Pulau Pinang diberi kuasa autonomi untuk memerintah sendiri berbanding dengan sistem persekutuan yang diamalkan sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata kontrak Persekutuan yang dimaterai sejak 51 tahun lalu itu perlu dikaji semula.

“Negara kita pada dasarnya mengamalkan sistem persekutuan, iaitu struktur politik yang secara lazimnya terdiri daripada negeri-negeri bersekutu yang disatukan di bawah payung kerajaan pusat. Contoh negara bersekutu yang lain adalah seperti Amerika Syarikat, Australia, Jerman dan India.

"Di negara-negara tersebut, kerajaan negeri mempunyai kuasa autonomi dalam kebanyakan bidang yang melibatkan kehidupan seharian, manakala kerajaan pusat biasanya bertanggungjawab ke atas hal ehwal kenegaraan, perhubungan antarabangsa dan keselamatan luar negeri," katanya memetik laporan Roketkini.

Beliau menjelaskan, perkongsian kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam sistem persekutuan pula ditentukan oleh perlembagaan dan tidak boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya oleh kerajaan pusat.

“Malangnya, sistem perundangan, pentadbiran dan fiskal di negara kita tidak mirip langsung dengan negara persekutuan yang lain. Tadbir urus negara kita dalam kebanyakan bidang adalah sangat terpusat, jika tidak lebih terpusat berbanding negara kesatuan (unitary states).

"Malah, kemungkinan besar Malaysia merupakan antara negara persekutuan yang paling terpusat di dunia. Contoh paling jelas pemusatan kuasa yang berlebihan di negara kita ini adalah hakikat bahawa perbelanjaan kerajaan Persekutuan merangkumi lebih 90 peratus daripada semua perbelanjaan kerajaan setiap tahun,” katanya.

Sambil memuji kerajaan negeri Pulau Pinang, Zairil berkata negeri itu telah menyumbang separuh daripada eksport elektrik dan elektronik Malaysia, satu pertiga daripada eksport pembuatan, dua pertiga daripada hasil pelancongan perubatan dan hampir satu persepuluh daripada KDNK negara.

“…adalah satu skandal besar bahawa kerajaan negeri yang dipilih secara demokrasi hanya mampu membelanjakan kurang daripada setengah peratus (0.05 peratus) daripada belanjawan negara,” katanya.

Maka, atas sebab-sebab ini, usaha ke arah desentralisasi ataupun pengagihan kuasa pusat harus digalakkan demi membentuk persekutuan yang benar-benar menghormati hak dan kesejahteraan negeri-negeri di bawah naungannya.

“Jelas, sistem sedia ada tidak berfungsi apabila sesebuah kerajaan negeri tidak berupaya untuk menentukan arah perjalanan bas dalam kota sendiri, membuat pinjaman wang untuk membiayai pembangunan infrastruktur, serta tidak diberi kuasa untuk menguruskan tandas awam sendiri.

“Kuasa tadbir urus yang diagihkan dengan baik sudah tentu dapat memakmurkan demokrasi yang lebih bermakna, menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi serta memupuk pembangunan yang lebih saksama dan lestari.

“Justeru, satu kajian semula kontrak persekutuan negara kita amat diperlukan, khususnya dalam persekitaran pasca-2008, di mana sudah jelas bahawa pemusatan berlebihan dalam hal ehwal pentadbiran adalah tidak selari dengan kerencaman negara kita serta terbukti gagal untuk memenuhi hasrat dan impian rakyat Malaysia,” ujarnya.

Skuad Sayang Wanita Umno P.Pinang Mula Hantar Bantuan Banjir

Skuad Sayang Wanita Umno Pulau Pinang hari ini mula menghantar bantuan bernilai RM30,000 untuk diedar ke negeri-negeri di Pantai Timur yang terjejas banjir.

Pesuruhjaya Skuad Sayang Wanita Umno negeri Senator Norliza Abdul Rahim berkata sumbangan berupa barangan keperluan harian yang dianggarkan seberat tiga tan itu akan dihantar ke pusat pengumpulan bantuan banjir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

"Ia dikumpul hasil kerjasama parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk sumbangan persendirian pemimpin tertinggi Gerakan, Umno, MCA, MIC dan PPP (Parti Progresif Penduduk)," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bantuan Kemanusiaan BN di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Pembangunan Pelajar USM Prof Dr Adnan Hussein berkata seramai 1,000 sukarelawan USM dijangka dihantar ke negeri-negeri selepas banjir surut bagi membantu kerja-kerja pembersihan.

"Mereka akan dihantar secara berperingkat selepas peperiksaan semester berakhir mengikut keperluan semasa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, Kelantan dijadikan pusat penempatan banjir sementara kepada pelajar institusi pengajian tinggi bermula semalam.

Beliau berkata setakat ini, seramai 200 pelajar universiti terjejas banjir termasuk daripada Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin, dipindahkan ke kampus itu.

Beliau berkata mereka ditempatkan sementara di Desasiswa Murni dan Desasiswa Nurani yang terletak di kawasan tinggi dan jauh dari kawasan banjir.Bernama

UMNO Negeri Tidak Tidur - ZAIDI

Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan sepatutnya menggunakan saluran di peringkat bahagian untuk mengemukakan pandangan dan bukan menggunakan media alternatif bagi mengkritik parti.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, tindakan itu jelas boleh merosakkan imej parti dan kerajaan.

Sebagai pemimpin, katanya, mereka mempunyai saluran yang betul untuk mengemukakan cadangan dan pandangan ke arah memantap dan memperkukuhkan parti UMNO.

“UMNO negeri tidak ‘tidur’ seperti yang didakwa oleh Khairuddin kerana kita mengadakan pelbagai program yang aktif untuk mendekati rakyat.

“Mungkin beliau melihat gerakan UMNO nampak kurang penyelarasan sedangkan UMNO sentiasa bergerak mengadakan program dari semasa ke semasa demi kepentingan rakyat,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Khairuddin menimbulkan polemik apabila kenyataannya yang disiarkan portal pembangkang mendakwa pemimpin UMNO negeri ‘tidur’ dan berbeza dengan pakatan pembangkang yang begitu serius melaksanakan pelbagai gerak kerja selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Selain itu, Khairuddin juga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya yang didakwanya menjalankan perniagaan yang boleh dipersoalkan serta mahu siasatan terperinci dan komprehensif dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah syarikat itu.

Najib Tinjau & Bertemu Mangsa Banjir

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini meninjau beberapa kawasan yang teruk dilanda banjir di Kelantan.

Perdana Menteri menaiki helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meninjau antaranya jajahan Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

Beliau berkesempatan bertemu mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kubang Batang, Tumpat, dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing di Tanah Merah.

Perdana Menteri  turut kelihatan sebak dan amat prihatin mendengar suara hati rakyat yang meliputi keluhan, rintihan dan harapan ketika berjumpa mereka.


Mengetepikan protokol, Najib turut makan apa yang dimakan oleh mangsa-mangsa banjir serta minum apa yang mereka minum.

Turut sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Sementara itu, beliau turut mengarahkan bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir secepat mungkin.

"Saya mengarahkan semua agensi terbabit pastikan bekalan bantuan seperti makanan dan ubat mesti sampai kepada mangsa banjir tanpa lengah," katanya menerusi laman twitternya hari ini.

sumber RakyatNews

Benarkah Ada Pengundi Hantu Berbangsa Cina Di Pulau Pinang ?

Malaysia mungkin dilanda skandal kewarganegaraan terbesar jika benar dakwaan bahawa banyak individu berbangsa Cina dari luar negara masuk secara haram ke negara ini kini mempunyai kad pengenalan Malaysia yang sah.

Jika sebelum ini kenyataan ini hanya sebagai gosip tepi jalan, namun penemuan krew 999 TV3 dalam serbuan ke pusat hiburan di Melaka baru-baru ini membuka satu pendedahan yang mengejutkan.

Menurut pendedahan 999 malam tadi, wanita berketurunan cina bekerja Pegawai Perhubungan Pelanggan yang diperiksa oleh penguatkuasa langsung tidak boleh berbahasa Melayu meskipun mempunyai mykad atau kad pengenalan warganegara Malaysia yang sah.

“Beliau langsung tidak boleh berbahasa Melayu. Kita minta kira satu hingga sepuluh pun tidak boleh. Ini sangat meragukan. Kita serahkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk tindakan,” kata pegawai penguatkuasa kepada TV3.

Menurut laporan 999 TV3, Gadis berbangsa cina ini juga mempunyai wajah berlainan dari gambar dalam Mykad dan tidak dapat mengingati nombor mykad sendiri.

Jika selama ini kita merasa hairan dengan peningkatan jumlah pengundi Cina biar pun mempunyai kadar kelahiran yang rendah, mungkin inilah yang sebenarnya berlaku.

Tulisan ini bukan bersifat perkauman, kita cuma mahu kerajaan menyiasat dengan serius mengenai situasi ini. Sudah banyak cakap-cakap bahawa terdapat usaha terancang menambah jumlah kaum Cina di negara ini melalui pemberian mykad milik orang orang cina lain yang telah meninggal.

Jika beliau sudah ada mykad sudah tentu beliau juga layak mengundi. Soalnya berapa seperti gadis ini dan apakah ini punca kekuatan DAP di Pulau Pinang ?

sumber Mykmu