Sunday 28 December 2014

Tiada Laporan Banjir Di Pulau Pinang

Pulau Pinang dilaporkan tidak mengalami banjir setakat ini walaupun bencana itu berlaku di Perak dan Kedah.

Exco Kerajaan Tempatan, Kawalan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, walaupun sungai di negeri ini berhubung dengan sungai di Kedah dan Perak, sehingga kini, tiada laporan mengatakan banjir akan berlaku di negeri ini.

“Sejak semalam (kelmarin), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menempatkan petugas pemantau sungai termasuk di Seberang Perai Selatan.

“Sehingga jam 6 petang semalam (kelmarin), saya sudah menerima laporan dari pasukan khas dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa tiada banjir di Pulau Pinang, setakat ini,” katanya, semalam.

Kon Yeow berkata, jurutera dipertanggungjawabkan akan melaporkan keadaan sungai dari masa ke semasa.

“Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa melakukan kerja pembersihan secara berkala supaya tidak berlaku banjir.” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, sebuah tabung dana mangsa bencana banjir ditubuhkan DAP negeri bagi membolehkan orang ramai menyalurkan bantuan.

Menurutnya, DAP negeri menyumbangkan RM10,000 berbentuk barangan bagi meringankan beban mangsa banjir di negeri terjejas.

“Wisma DAP negeri di Jalan Rangoon dibuka untuk menerima sumbangan orang ramai mulai esok (hari ini) bermula jam 12 tengahari hingga 5 petang,” katanya.

Kon Yeow berkata, kesemua barangan itu akan dibungkuskan pada Isnin dan diterbangkan ke Kota Bharu, Kelantan keesokan harinya. sinar

No comments:

Post a Comment