Thursday 11 September 2014

Rumah Sewa Beli Untuk Golongan Memerlukan

BUTTERWORTH 10 Sept. - Golongan miskin tegar, orang kurang upaya (OKU) dan gelandangan di negeri ini dilihat masih tidak berkemampuan untuk membeli dan memiliki rumah sendiri.

Mereka perlu dibela bagi mengelakkan daripada merempat di negeri sendiri, lantaran itu, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) sedang melaksanakan projek Perumahan Kesejahteraan Rakyat (PPKR) untuk membela golongan terbabit.

Pengerusi Perda, Datuk Shabudin Yahaya berkata, melalui PPKR yang sedang dibina, melibatkan 57 unit di Desa Puri, Ara Kuda di Tasek Gelugor yang dijangka siap Disember ini menawarkan konsep sewa beli RM100 sebulan kepada golongan berkenaan.

Beliau berkata, melalui konsep itu mereka tidak dikenakan wang deposit untuk menduduki rumah tersebut.

"Selepas mereka menyewa rumah berkenaan dalam tempoh 15 tahun, golongan ini layak memiliki rumah itu sebagai hak milik sendiri dengan membayar sekitar RM3,000 sahaja.

"Kita akan mengira kos sewa bulanan selama 15 tahun itu sebagai wang deposit untuk membeli rumah berkenaan dengan harga yang murah," katanya di sini hari ini.

Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, ini merupakan tanggungjawab Perda untuk membantu golongan tersebut mempunyai tempat tinggal yang selesa.

Menurut beliau, sebuah lagi projek PPKR itu akan dilaksanakan oleh Perda di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau tidak lama lagi.

Katanya, projek membabitkan pembinaan 60 unit rumah tiga bilik itu akan ditawarkan kepada golongan berkenaan yang masih terpinggir.

No comments:

Post a Comment